Sunday 3 April 2016

PIZZA CELAH POKOK




ADA IDEA..ADA USAHA...


PASTI BERJAYA !!!!!


......................................................

Piza gerai 'celah pokok'


Ainal Marhaton Abd Ghani 

rencana@hmetro.com.my
Nama komersialnya Piza Seni Bidadara, tapi ada pelanggan menggelarkannya 
sebagai lempeng Itali, piza kampung, piza terlajak murah atau piza klasik.
Apapun gelaran diberikan, makanan Barat itu adalah menu yang disediakan di gerai 
‘celah pokok’ milik pengusahanya Che Ku Arshad Che Ku Rani, 43.
Begitu klasik namanya sama seperti cara penyediaannya yang sangat tradisional. 
Dapur diperbuat daripada simen konkrit berbentuk separa kubah.
Ruang pada bahagian dalam dapur itu dibahagikan kepada dua iaitu bahagian atas 
disediakan tapak untuk memuatkan dua dulang berisi piza yang akan dibakar.
Sementara bahagian bawah pula diletakkan longgokan kayu untuk proses pembakaran.
Penulis ternyata kagum dengan teknik ‘gaya kuno’ digunakan Che Ku Arshad dalam 
memperkenalkan sajian tunggalnya yang semakin popular selepas diviralkan di laman 
sosial Facebook.
“Kami memang tidak menyediakan ruang makan di sini, tapi pelanggan masih 
boleh menjamu selera di beberapa bangku rehat yang disediakan di halaman seni ini.
 Pesanan minuman boleh dibuat di gerai yang terletak di pintu masuk pada bahagian bawah.
“Pelanggan juga boleh memesan secara terus atau tempahan awal menerusi aplikasi 
WhatsApp sehari sebelum bermula jam 8.00 malam hingga 1.00 petang,
” katanya ketika ditemui di laman seni Rajawali Auter Space 
bersebelahan Sekolah Rendah (SK) Cenderawasih, Perkampungan Cenderawasih, 
Kuantan, Pahang.
Che Ku Arshad dibantu anaknya Che Ku Nur Atiqah, 18, dan anak saudara, 
Ana Ismail, 23, bersama tiga rakan mereka, Nur Fatihah Abdul Fattah, 20, 
Nurul Wahida Samsuri,20, dan Ahmad Farhan Alias,15, dalam menguruskan 
tempahan serta penyediaan piza sementara isterinya, Nur Faizah Jaafar, 41, 
ditugaskan membakar piza.
Che Ku Arshad berkata, setiap hari dia menyediakan antara 40 hingga 55 
keping piza menggunakan antara 10 hingga 15 kilogram doh.
“Proses membuat doh tidak lama dan saya menyediakannya di rumah. 
Doh ini pula hanya bertahan dalam tempoh enam jam sahaja dan selepas 
itu ia tidak boleh digunakan lagi kerana teksturnya sudah berubah.
“Saya akan pastikan doh digunakan hingga habis untuk mengekalkan kualiti 
dan tidak berubah rasa,” katanya.
Menggunakan pendekatan ‘sesiapa sahaja boleh makan’, ternyata piza 
yang bersaiz S, M, L RM10 dan XL (RM15) memang menepati cita 
rasa penggemar hidangan berasal dari barat itu.
Empat jenis Piza Seni Bidadara yang ditawarkan iaitu ayam, daging, 
makanan laut dan campur.
“Ramai yang musykil dan hairan mengapa piza saya murah berbanding 
jenama terkenal. Untuk makluman, saya hanya menggunakan potongan 
bebola ayam dan daging dengan hiasan kepingan ketam, sosej, nanas, 
lada benggala, serbuk herba origano dan dilapisi keju di bahagian 
permukaan piza.
“Doh yang sudah dileperkan nipis disapu pula sos tomato dan serbuk lada kering yang 
kemudiannya diletakkan pula bahan-bahan hiasan yang kebanyakannya dipilih sendiri pelanggan 
ketika membuat pesanan,” katanya.
Bagi yang mahukan keju lebih Che Ku Arshad kenakan tambahan RM3 saiz biasa 
sementara untuk piza RM40 atau 4XL tambahan RM6 pula dikenakan kerana saiznya 
yang lebih besar.
Menurutnya, dengan taburan keju terpilih menghiasi atau memenuhi 
permukaan piza, Piza Seni Bidadara menjadi pilihan pelanggan yang 
mahukan ‘piza bajet’ tetapi mampu memenuhi selera mereka.
“Jika dimakan ketika panas, kejunya ‘melekit dan melekat’ ketika dipotong. 
Itu yang sedapnya dan setanding dengan tempat lain.
“Saya juga memberi kelonggaran kepada pelanggan yang mahukan doh tebal, 
tetapi masih pada harga sama,” kata penggemar tegar piza itu.
Che Ku Arshad dan Nur Faizah yang pernah terbabit dalam industri 
perhotelan berkata, idea menggunakan dapur konkrit dan kayu api itu 
selepas melihat kaedah sama digunakan di beberapa negara barat dan timur tengah.
Idea itu sangat kreatif sebenarnya dan aromanya pula lebih ‘menyengat’. 
Cuma perlu lebih berhati-hati dari segi suhu ketika proses pembakaran 
dilakukan.
“Dengan sambutan yang semakin menggalakkan sejak dibuka Oktober 
tahun lalu, saya dalam proses menambah dapur untuk mempercepatkan 
pesanan pelanggan.
“Piza rakyat untuk rakyat tiada siapa terkecuali daripada menikmatinya 
sehingga ada yang sanggup datang dari Damansara, Kuala Lumpur untuk 
mendapatkan piza kerana mengidam walaupun ketika itu saya sedang 
berkemas untuk pulang,” katanya terharu dengan sambutan diberikan.
Katanya, gerainya dibuka hanya empat jam sehari mulai 3 hingga 7 
malam saja.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 11:55 AM





KEPINGAN piza bersaiz 4XL dipotong dan dimasukkan ke dalam kotak sebelum diserahkan kepada pelanggan.

No comments:

Post a Comment